Banjir Sarawak pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup
Astro Awani
Februari 21, 2021 10:33 MYT
Februari 21, 2021 10:33 MYT
KUCHING: Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat pagi Ahad.
Kemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada pukul 10 pagi memaklumkan, dua PPS di bahagian Samarahan yang masih aktif sejak semalam telah ditutup kira-kira 9.15 pagi tadi.
Terdahulu, kemas kini JPBN Sarawak pada pukul 8 pagi tadi menunjukkan dua PPS itu masih dibuka dengan menempatkan 67 mangsa banjir daripada 30 keluarga yang terjejas.
Manakala enam PPS telah ditutup secara berperingkat sejak petang semalam.
Keadaan cuaca di sekitar daerah yang terjejas juga dilihat bertambah baik, sejak semalam.
Selepas kira-kira sebulan gelombang pertama banjir melanda Sarawak, beberapa tempat di bandar raya Kuching sekali lagi dilanda bencana tersebut Jumaat lepas, berikutan hujan berterusan.
Berdasarkan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hujan dijangka masih berlaku di beberapa kawasan di Sarawak.