Banjir Sarawak: PPS tutup sedia dibuka semula jika diperlukan - Uggah

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 26, 2022 14:28 MYT
Jelas Uggah sekiranya peningkatan paras air berulang, anggota keselamatan daripada setiap agensi yang terlibat sudah bersedia untuk mengendalikan semula PPS jika diperlukan. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBNS) masih dalam mod berjaga-jaga walaupun 18 daripada 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu telah ditutup sejak Ahad.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah memberi arahan kepada Pejabat Daerah dan Pejabat Residen di setiap bahagian untuk sentiasa bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan.
“Dua PPS masih lagi dibuka, di tempat lain mungkin kerana cuaca sudah baik maka PPS berkenaan ditutup, kita harus terus berdoa agar cuaca tidak menjadi lebih teruk, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen telah pun diingatkan.
“Kadang-kadang di Sarawak ini daripada bulan Januari mungkin akan mengalami hujan lebat dan boleh mengakibatkan banjir sehingga bulan Februari, maka inilah agensi kerajaan yang akan bersedia 24 jam,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas Anglican di Gereja St.Thomas di sini pada Isnin.
Jelasnya jika peningkatan paras air berulang, anggota keselamatan dari setiap agensi yang terlibat sudah bersedia untuk mengendalikan semula PPS jika diperlukan.
“Kalau air dah surut dan tidak lagi mengancam keselamatan penduduk, maka mereka boleh balik ke rumah, melakukan pembersihan dan sebagainya, kalau kita fikir hari masih hujan dan air masih tinggi kita tidak akan benarkan mereka kembali ke kediaman masing-masing.
“Jika banjir kembali berlaku, kita buka semula PPS dan anggota sentiasa bersedia untuk membantu rakyat daripada terus tersiksa akibat banjir selain memastikan keselamatan diutamakan,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, kerajaan Sarawak mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Mereka terdiri 1,124 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (1,245), tentera (488), Rela (868), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (1,011), Kementerian Kesihatan Malaysia (423) dan lain-lain agensi (534).
#banjir #Sarawak #PPS #Douglas Uggah Embas
;