Banjir Sarawak: Lebih 1,800 mangsa dipindahkan setakat 1 petang
Fadilah Sulaiman
Januari 14, 2021 13:05 MYT
Januari 14, 2021 13:05 MYT
KUCHING: Situasi banjir di Sarawak dilihat memburuk selepas 1,826 mangsa dari 507 keluarga ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri setakat jam 1 petang, Khamis.
Kesemua PPS itu terletak di empat bahagian utama yang mengalami kejadian banjir kritikal iaitu di Miri, Serian, Samarahan dan Kuching.
Laporan terkini daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, PPS tersebut masing-masing 12 di Kuching, Bau (11), Serian (6) dan dua masing-masing di Miri dan Samarahan.
Angka mangsa banjir tertinggi dicatatkan di daerah Kuching, dengan 1,176 mangsa daripada 318 keluarga dan melibatkan lebih 12 buah kampung.
Operasi pemindahan dan menyelamat mangsa turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus memastikan PPS dan khemah yang digunakan selamat serta mematuhi SOP COVID-19.
Terdahulu hujan lebat luar biasa melanda seluruh negeri itu dalam tempoh 48 jam mengakibatkan beberapa kawasan rendah dinaiki air terutama kawasan berhampiran tebingan sungai.
Antara PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di PPS Dewan Serbaguna Masyarakat Malihah, Dewan Serbaguna Desa Wira, dan Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, Serian.
Dalam perkembangan lain, APM sentiasa bersiap siaga memantau kawasan berisiko bencana yang lain.
#banjir Sarawak
#jumlah mangsa terkini banjir
#PPS di Sarawak
#kawasan banjir di Sarawak
#jumlah mangsa banjir di Kuching
#SOP COVID-19 di PPS