Banjir Sarawak: Keadaan semakin teruk, seramai 5,769 mangsa terjejas

Bernama
Februari 21, 2016 14:54 MYT
Penduduk kampung terpaksa menggunakan bot yang disediakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak berikutan banjir untuk ke rumah mereka di Kampung Endap, Siburan hari ini. - Foto Bernama
Keadaan banjir di bahagian Kuching, Serian dan Samarahan semakin teruk malam ini dengan jumlah mangsa di 31 pusat pemindahan (PP) banjir kini mencecah angka 5,769 daripada 1,527 keluarga.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata ia merupakan peningkatan ketara berbanding 4,381 mangsa petang tadi.
Beliau berkata empat lagi PP dibuka untuk mangsa banjir petang ini, menjadikan ketika ini 31 PP di ketiga-tiga bahagian berkenaan.
Terdapat lapan PP di daerah Kuching, dan 9 PP di daerah Bau dalam bahagian Kuching, manakala dalam bahagian Serian tujuh dibuka di daerah Serian dan satu di daerah Padawan.
Beliau berkata di bahagian Samarahan pula, kini enam PP dibuka, semuanya di daerah Kota Samarahan.
Menurutnya air sungai di kebanyakan tempat yang dilanda banjir berada di paras normal, namun cuaca mendung masih menyelubungi sekitar tiga bahagian berkenaan sepanjang hari ini.
#banjir di Sarawak #JPAM Sarawak #mangsa banjir Sarawak #pemindahan mangsa