Banjir Sarawak: Jumlah mangsa menurun, sembilan PPS masih dibuka

Astro Awani
Februari 8, 2021 02:15 MYT
Anggota APM Sarawak meninjau keadaan paras air di Kampung Tanah Puteh, Serian. - ihsan APM Sarawak
KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak beransur baik apabila hanya 813 mangsa daripada 275 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 823 orang petang semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dua bahagian iaitu Samarahan dan Serian masih terjejas melibatkan daerah Simunjan serta Serian.
Kemas kini setakat 8 pagi ini menunjukkan PPS SK Tanah Puteh merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 338 orang daripada 114 keluarga.
"Ia diikuti PPS Dewan Masyarakat Serian dengan 148 mangsa daripada 52 keluarga. Manakala, Dewan Kampung Slabi Entukuh (42 mangsa, sembilan keluarga), Dewan Kampung Rimba Padi (75 mangsa, 25 keluarga) dan Dewan Serbaguna Ranchan (35 mangsa, 10 keluarga) masih lagi dibuka.
"Empat PPS yang dibuka di Serian semalam telah ditutup antara Dewan Sk Tebakang, Dewan Buk Janjun, Sk St Patricks Tangga, dan Balai Raya Babuk Bandar Ranchan," katanya.
Selain Serian, daerah Simunjan juga masih banjir dengan 175 mangsa kekal berada di empat PPS.
Daripada jumlah itu, 96 mangsa masih berada di PPS Dewan Mesra Simunjan, Dewan Kampung Entangor, Sebuyau (40 mangsa), Dewan Masyarakat Lubok Buntin (27 mangsa) dan Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau (12 mangsa).
#banjir Sarawak #Banjir semakin pulih #mangsa banjir menurun #Sarawak #Serian #Samarahan #Simunjan #SK Tanah Puteh #PPS