Banjir Sarawak: Jumlah mangsa meningkat 12,470 orang, penduduk di Bintulu masih fobia biarpun banjir sudah surut
Rudi Affendi Khalik
Januari 31, 2025 07:45 MYT
Januari 31, 2025 07:45 MYT
KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat kepada 12,470 orang membabitkan 3,618 keluarga di 62 pusat pemindahan sementara (PPS).
Dua PPS terbaharu adalah PPS SK SLDB Ladang 3, Mukah yang menempatkan mangsa dari Rumah Anderson ak Pandong dan PPS Dewan Kelab Melayu yang menempatkan mangsa dari Jalan Rosli Dhoby, Sibu.
Sementara itu, fobia akan gelombang kedua dan tahap kesedaran yang tinggi selepas banjir dahsyat setinggi bumbung rumah satu tingkat menjadi faktor masih ramai yang berdaftar dan berada di PPS di Bintulu biarpun air di kawasan bandar telah surut sepenuhnya.
Sehingga jam 7 pagi Sabtu, rekod Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menunjukkan, keseluruhan Bahagian Bintulu memiliki 10 PPS aktif, dengan sembilan daripadanya adalah mangsa banjir, manakala satu PPS menempatkan mangsa tanah runtuh.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir untuk dua daerah di bahagian ini adalah seramai 5,885 orang daripada 1,649 keluarga.
Tiga PPS teramai adalah Naim Paragon yang menempatkan 2,043 mangsa dari Sungai Plan, Bukit Orang, Rumah Ningkan, UPM Bintulu, RPR Sebiew, Rumah Dunggat, Rumah Andi dan Rumah Selanjat.
PPS Dewan Suarah Bintulu pula menempatkan 300 keluarga dan 1,049 mangsa dari RPR Sebiew, Bidiya Sibiyu, Kampung Kemunting Sebemban, Sibiew Indah, Setinggan Batu 6 Jalan Miri, Desa Damai, Bukit Orang, Sungai Selenja, Tisang dan Pine Court.
Manakala PPS Stadium Muhibbah, Bintulu merekodkan 870 mangsa dari RPR Sebiew, Spring Ville, Sungai Plan, Taman Sebiew Indah, Taman Terus Jaya, Kampung Kemunting, Taman Badarjaya, Kidurong, Taman Desa Damai, Iris Garden, Ulu Segan, Taman Bukit Orang dan Taman Jason.
Bahagian Kuching merekodkan tiga PPS yang menempatkan 153 keluarga dan 475 mangsa; manakala bahagian Samarahan mencatatkan empat PPS di daerah Samarahan, tiga PPS di daerah Asajaya, tiga PPS di daerah Sebuyau, satu PPS di Simunjan , dan dua PPS di daerah Gedong; yang menempatkan 596 keluarga dan 1,790 mangsa.
Di bahagian Serian, 2,307 mangsa daripada 709 keluarga berlindung di 11 PPS di daerah Serian, lima PPS di daerah Siburan dan tiga PPS di Balai Ringin, yang keadaan banjirnya masih termenung.
Sementara itu, di Bahagian Sibu, satu PPS direkodkan di daerah Sibu dan Kanowit manakala empat PPS di daerah Selangau, bagi menempatkan 293 keluarga dan 1,162 mangsa.
Manakala di bahagian Mukah, satu PPS dibuka untuk seorang mangsa, manakala di Bahagian Miri, terdapat 644 mangsa daripada 169 keluarga yang menghuni di lapan PPS di daerah Miri dan dua di daerah Subis.
Tiga PPS diaktifkan untuk bencana tanah runtuh, terutamanya dari kawasan lereng Bukit Kanada, iaitu 105 mangsa daripada 25 keluarga yang berlindung di Pusat Bulan Sabit Merah Miri dan 26 mangsa daripada enam keluarga Dewan Kampung Sukan Petronas.
Sementara mangsa tanah runtuh dari Rumah Cherurai yang ditempatkan di Dewan SMK Tatau adalah seramai 138 orang daripada lapan keluarga.
Satu lagi PPS aktif adalah mangsa kebakaran Rumah Paulus ak Yan di Sungai Bawan, Kanowit, dengan 37 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Dewan Datuk Aaron.
Difahamkan kesemua keluarga bencana banjir akan menerima bantuan segera RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan, bagi menampung keperluan pascabencana.