Banjir Sarawak: Jumlah mangsa di PPS Saratok kekal 90

Bernama
Januari 22, 2025 09:40 MYT
Penduduk yang terjejas itu terdiri 21 keluarga yang mendiami Rumah Tembawai Kapok yang dilanda banjir sejak Ahad. - Gambar hiasan/APM
KUCHING: Keadaan banjir yang memasuki hari keempat di daerah Saratok hari ini tidak menampakkan perubahan dengan 90 penduduk terjejas masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Rumah Dayak di daerah itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam makluman setakat 8 pagi hari ini menyatakan penduduk yang terjejas itu terdiri 21 keluarga yang mendiami Rumah Tembawai Kapok yang dilanda banjir sejak Ahad.
Sementara itu, sekretariat berkenaan turut memaklumkan 11 daripada 19 lokasi di Sarawak yang dipantau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menunjukkan trend peningkatan air dan ini melibatkan daerah Matu serta Sebauh.
Status paras air menurun pula dilaporkan di lapan lokasi yang terletak di daerah Bau, Samarahan dan Mukah.
-- BERNAMA
#banjir2024 #monsun timur laut #Bah Kuning #PPS
;