Banjir Sarawak: Dua beradik OKU mengengsot capai kerusi roda selamatkan diri
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 15, 2021 17:09 MYT
Januari 15, 2021 17:09 MYT
KUCHING: Dua beradik golongan orang kelainan upaya (OKU) terpaksa mengengsotkan punggung mencapai kerusi roda untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka dinaiki air di Taman Malihah, Kuching kelamrin.
Menceritakan detik cemas itu, Kusuaddi Mozallan, 49 berkata, ketika kejadian air sudah naik selain membasahi katil tempat tidurnya.
Lebih menyedihkan apabila dia dan adiknya, dan Irwandi Mozallan, 38 tidak dapat menggerakkan kerusi roda masing-masing apabila air naik pada paras pinggang.
Kusuaddi berkata, mereka yang tidur di bilik berasingan dikejutkan ibunya apabila paras air naik mendadak.
"Pagi itu sekitar jam 4.30 pagi, kami berdua sedang tidur lena dan hanya menyedari rumah dinaiki nair ketika ibu mengejutkan kami sebelum bergegas keluar.
"Susah mahu bergerak kerana air sudah berada di paras pinggang orang normal dan kami hanya boleh bergerak setelah dibantu kakak dan ibu yang ada di rumah ketika itu," katanya kepada wartawan Astro Awani di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Sungai Tengah pada Jumaat.
Selain itu, adik Kusuaddi, Irwandi Mozallan berkata, walaupun tahu kekurangan diri, mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain untuk bergerak.
"Kami dah biasa buat kerja-kerja seharian tanpa bantuan, dah puluhan tahun sejak kecil lagi, jadi tidak ada masalah, cuma kalau nak berindah perlu ada yang hantar," katanya lagi.
Semasa kejadian, ibu dan kakaknya sempat menyelamatkan barang peribadi mereka sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba ke lokasi.
#banjir Sarawak
#OKU selamatkan diri
#mengengsot punggung
#Taman Malihah
#Kuching
#Kusuaddi Mozallan
#Irwandi Mozallan