Banjir: Sarawak buka dua PPS, trend air menaik

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 28, 2023 10:20 MYT
Mangsa banjir ketika mendaftar diri di PPS Tanjung Batu Tasik Biru. - Astro AWANI
KUCHING: Hujan lebat berterusan lebih enam jam sejak tiga hari lalu di Sarawak mengakibatkan beberapa kawasan di selatan negeri ini ditenggelami air.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan setakat ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah Bau.
PPS tersebut menempatkan 17 mangsa melibatkan tujuh keluarga melibatkan PPS Dewan Tanjung Batu Tasik Biru dan PPS Balai Raya Kampung Opar yang beroperasi seawal jam 6.40 pagi hari ini.
Beberapa kawasan penempatan penduduk lain yang terjejas antaranya di Kampung Simpok, Kampung Benok, Kampung Bratan, Taman Sejoli Petra Jaya, dan Kampung Batu Kitang Padawan.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak masih melakukan pemantauan berkala di beberapa kawasan berisiko banjir berdasarkan trend air yang masih menaik.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) di Sarawak melibatkan bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu (Tatau dan Bintulu) sehingga Rabu, 1 Mac 2023.
#banjir #mangsa #PPS #hujan lebat
;