Banjir Sarawak: Amaran cuaca waspada peringkat kuning hingga Rabu
Atiqah Ismail
Februari 5, 2018 13:58 MYT
Februari 5, 2018 13:58 MYT
Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan amaran hujan lebat di Sarawak bermula 5 Februari sehingga 7 Februari 2018.
Merujuk kenyataan NADMA, kawasan yang berisiko banjir akibat hujan lebat melibatkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Daerah Song, Kapit & Belaga), Bintulu dan Miri.
Keadaan berkenaan dikhuatiri menyebabkan banjir di negeri berkenaan bertambah buruk.
Setakat jam 12 tengahari tadi, 2,640 mangsa banjir dari 727 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sarawak.
Samarahan mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,471 daripada 407 keluarga diikuti Serian, 562 mangsa daripada 149 keluarga, Kuching, 240 mangsa dari 55 keluarga dan Muka, 187 mangsa daripada 58 keluarga.
Bintulu pula mencatatkan 180 mangsa daripada 58 keluarga.
Sementara itu, Pengurusan Jawatankuasa Bencana Sarawak memaklumkan sepuluh pusat pemindahan banjir akan ditambah di Samarahan, Serian, Mukah dan Bintulu hari ini.