Banjir Sarawak: 13 sekolah dan kampung di pedalaman Miri dinaiki air
Fadilah Sulaiman
September 4, 2021 13:16 MYT
September 4, 2021 13:16 MYT
KUCHING: Sekurang-kurangnya 13 buah sekolah dan beberapa kampung di pedalaman Miri dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Jumaat malam.
Situasi itu telah mengakibatkan limpahan air sungai Baram sekali gus membanjiri beberapa penempatan di sekitarnya.
Setakat pagi Sabtu, trend paras air masih lagi tinggi ditambah cuaca mendung.
Menurut kemas kini Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Kampung Ekang Baram telah dinaiki air di ketinggian empat kaki setakat pukul 10.40 pagi.
Turut terjejas Kampung Kuala Tutoh, Baram serta Kampung Long Loyang, Tinjar di daerah Beluru yang dinaiki air setinggi lapan kaki dan air masih naik secara perlahan biarpun cuaca cerah pada pagi Sabtu.
Sekolah-sekolah yang terkesan pula adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Morek, SK Long Laput, SK Long Panai, SK Long Jegan, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Pengarah Enteri, SK Long Loyang, SK Ubong Imang, SK Long Teru, SK Long Sepiling, SK Long Wat dan SMK Tutoh Apoh.
Bagaimanapun tiada murid-murid dan warga sekolah berada di sekolah ketika hujung minggu di samping pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selain keadaan di sekolah dilaporkan terkawal.