Banjir Sarawak: 1,273 mangsa terjejas, 14 pusat pemindahan dibuka

Astro Awani
Februari 4, 2018 05:51 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning (waspada) bagi beberapa bahagian di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah dengan jangkaan hujan lebat sehingga isnin - Gambar JBPM Sarawak
Setakat jam 9 malam tadi, 1273 mangsa daripada 243 keluarga yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS) berasingan di seluruh negeri Sarawak.
Jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) Mejar Ismail Maheidin memaklumkan daripada jumlah itu Samarahan mencatatkan jumlah mangsa dengan 542 mangsa, diikuti Serian 336, Kuching 291 dan Mukah 104 mangsa.
"Bagi pecahan PPS mengikut bahagian, di Kuching sebanyak 3 PPS, Samarahan, 7, manakala di bahagian Serian terdapat 3 PPS," jelas Mejar Ismail.
Tambahnya PPS yang dibuka sejak Sabtu lalu telah menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan.
Bagaimanapun setakat ini kesemua PPS dalam keadaan terkawal dan kesemua mangsa ditempatkan dalam keadaan selamat.
Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak turut melaporkan terdapat sebuah sekolah tidak beroperasi dan terpaksa ditutup ekoran banjir.
Sekolah berkenaan ialah SK Klid Plajau di bahagian Mukah, membabitkan keseluruhan 59 orang murid.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning (waspada) bagi beberapa bahagian di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah dengan jangkaan hujan lebat sehingga hari ini.
#banjir #Kuching #mangsa #mangsa banjir #pusat pemindahan #Sarawak
;