Banjir: Sanggup redah air sedalam satu meter demi kucing
Abd Razak Mohd Ali
Disember 20, 2021 17:41 MYT
Disember 20, 2021 17:41 MYT
TELUK INTAN: Seorang lelaki sanggup meredah banjir yang mencecah hampir satu meter semata-mata untuk memastikan kebajikan kucingnya terjaga susulan kejadian banjir di Changkat Jong di sini sejak semalam.
Mohd Shahrizan Nawawi, 40, berulang-alik ke kediamannya yang dinaiki air di Kampung Batu 8, Lorong Kedah dekat sini dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, sejauh lapan kilometer tiga kali sehari semata-mata untuk memberi lapan ekor kucingnya makan.
Menurutnya, rutin itu terpaksa dilakukan untuk memastikan lapan kucing-kucingnya yang dipelihara sejak 10 tahun lalu tidak kelaparan memandangkan haiwan-haiwan berkenaan tidak dapat dibawa bersama ke PPS.
Katanya, kucing-kucing itu ditempatkan dalam sangkar di sebuah rumah kosong yang berhampiran dengan jalan utama kerana paras air di situ agak rendah.
"Agak senang dan selamat untuk saya redah air banjir beri mereka makan setiap hari.
"Tak sedap hati kalau tidak balik jenguk, lagipun anak-anak selalu bertanya keadaan kucing-kucing mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Mohd Shahrizan juga tidak berhasrat untuk membawa haiwan peliharaannya itu ke PPS kerana tidak mahu mengganggu keselesaan penghuni lain.
"Selagi keadaan mengizinkan, saya akan balik jenguk dan setakat ini keadaan rumah air naik tinggi melebihi paras pinggang," ujarnya.
Sementara itu, Rasidah Darus, 32, dari Kampung 7 1/2 Lorong Mesra pula terpaksa meninggalkan haiwan-haiwan peliharaannya di atas bumbung rumah selepas paras air naik mendadak akibat hujan lebat berterusan.
Menurutnya, terdapat 10 ekor kucing, lima arnab, lima burung puyuh dan sepasang hamster diletakkan di situ sejak banjir melanda pada Ahad.
"Pagi tadi saya balik jenguk rumah, nampak mereka masih ada atas bumbung lagi, cuma dua ekor kucing hilang, tak tahu ke mana.
"Saya harap banjir surut segera, jika tidak terpaksalah saya minta kebenaran bawa semua haiwan berkenaan ke PPS," kata Rasidah lagi.