Banjir Sabah: Semua PPS di Pitas ditutup

Bernama
Februari 9, 2022 14:46 MYT
Penutupan melibatkan dua PPS terakhir iaitu Dewan Kampung Kusilad dan Dewan Kampung Sinukab. - Gambar fail/APM
KOTA KINABALU: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Pitas, ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan, penutupan PPS pada sekitar pukul 12 tengah hari tadi melibatkan dua PPS terakhir iaitu Dewan Kampung Kusilad dan Dewan Kampung Sinukab.
Katanya, kesemua mangsa berlindung di PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan keadaan banjir yang sudah pulih.
Pagi tadi, kedua-dua PPS itu menempatkan seramai 559 mangsa melibatkan 183 keluarga dari Kampung Kusilad, Kampung Desa Seberang, Kampung Kanibongan, Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung.
Petang ini cuaca diramal cerah di kebanyakan daerah di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Pitas dan Kudat.
-- BERNAMA
#banjir sabah #PPS #pitas #Dewan Kampung Kusilad
;