Banjir Sabah: PM beri jaminan percepatkan bantuan kewangan kepada mangsa
Astro Awani
Januari 3, 2022 14:16 MYT
Januari 3, 2022 14:16 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan dengan segera.
Jaminan itu dinyatakan Perdana Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pada pagi ini.
"Perdana Menteri beri jaminan akan menghantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi.
"Setakat ini Sabah telah menerima sebanyak RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga
yang terjejas.
"Jadi ia adalah baik Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Hajiji menghadiri Mesyuarat Khas Pasukan Petugas Pengurusan Bencana Banjir Monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pada pagi ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pada taklimat itu, Hajiji memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai situasi banjir di Sabah yang melibatkan enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid.
Hajiji turut memberitahu Perdana Menteri bahawa kerajaan negeri sedang menunggu laporan kerosakan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas.
Selain itu, beliau menjelaskan segala kebajikan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik dan kerajaan negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.
Malah, Hajiji akan melawat mangsa dan lokasi banjir ke daerah Kota Marudu, Pitas serta Paitan pada Rabu.