Banjir Sabah: Pertambahan mangsa banjir di Beaufort, satu PPS dibuka
Eleanor Michelle Patrick
Januari 19, 2021 09:58 MYT
Januari 19, 2021 09:58 MYT
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di 10 daerah terjejas di Sabah menunjukkan peningkatkan kepada 895 setakat pagi Selasa.
Menurut kemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Kota Belud masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 264 daripada 88 keluarga diikuti Beaufort (142) dan Tuaran (106).
"Susulan peningkatan mangsa banjir di Beaufort, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) baharu iaitu Dewan Pa'Musa Beaufort manakala menutup sepenuhnya PPS Dewan Kubambangan di Paitan.
"Setakat kemas kini pukul 8 pagi ini, 16 PPS masih beroperasi dan menempatkan mangsa banjir dari 10 daerah yang terjejas," katanya.
APM Sabah turut menyenaraikan 53 laluan membabitkan daerah banjir yang masih terjejas setakat ini.
Antara jalan terjejas adalah di Beaufort, Kudat, Penampang, Tuaran, Pitas dan Kota Marudu.