Banjir Sabah: Kota Belud catat jumlah mangsa tertinggi

Eleanor Michelle Patrick
Januari 18, 2021 22:40 MYT
Setakat ini, 16 PPS yang masih aktif dan bahagian sekretariat juga meramalkan trend pemindahan mangsa akan meningkat dari semasa ke semasa. - Foto APM Sabah.
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menunjukkan peningkatan seramai 836 orang melibatkan 237 keluarga setakat jam 8 malam Isnin.
Dalam kemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Kota Belud mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 264 daripada 88 keluarga.
Bagi daerah Kota Belud, empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu PPS Dewan Masyarakat Tun Said; Dewan Muhibah Kampung Tombol; Dewan Kampung Lentigi dan Dewan SK Tamau.
"Selain Kota Belud, dua lagi daerah mencatatkan tiga angka jumlah mangsa iaitu Tuaran 106 mangsa daripada 23 keluarga serta Kota Kinabalu dengan 101 mangsa daripada 18 keluarga.
"Sebanyak dua PPS dibuka di kedua-dua daerah tersebut iaitu PPS Dewan Tun Hamdan dan SK Pekan Tuaran bagi daerah Tuaran; manakala di Kota Kinabalu melibatkan Dewan Serbaguna Likas serta Masjid Jamek Kota Kinabalu," katanya kenyataan itu.
BACA: Pengorekan pasir sungai atasi masalah banjir di Kota Belud - Hajiji
Tambah kenyataan itu lagi, selain tiga daerah tersebut, tujuh lagi daerah yang terjejas akibat banjir di Sabah.
Antaranya daerah Beaufort dengan 87 mangsa; Paitan (69); Putatan (47); Penampang (68); Papar (19) dan Tenom (75).
"Setakat ini, 16 PPS yang masih aktif dan bahagian sekretariat juga meramalkan trend pemindahan mangsa akan meningkat dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan tanah runtuh dikenal pasti susulan taburan hujan di negeri itu melibatkan Kampung Air, Kudat; Jalan Kampung Layak-Layak, Pitas; SMK Tandek, Kota Marudu dan Jalan Kampung Lokub, Kota Kinabalu.
#banjir sabah #JPBN Sabah #Kota Belud #Kota Kinabalu #APM #mangsa banjir
;