Banjir Sabah: Kerajaan sedang kenal pasti kerosakan infrastruktur akibat banjir - Jahid
Eleanor Michelle Patrick
Januari 19, 2021 15:06 MYT
Januari 19, 2021 15:06 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang mengenal pasti kerosakan infrasturktur di pedalaman Sabah yang terjejas akibat bencana banjir.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, usaha membaik pulih infrastruktur yang terjejas akan dibuat secepat mungkin dengan mengambil kira jenis kerosakan dan lokasi yang memerlukan diberi keutamaan.
Jelas beliau, pihaknya menerima banyak laporan berhubung perkara itu dan pemantauan berterusan akan dilakukan.
"Kita banyak menerima laporan dari kerosakan akibat banjir, seperti yang dikatakan oleh YAB Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor). Kita akan beri perhatian yang serius dengan keutamaan diberikan kepada lokasi yang betul-betul memerlukan bantuan segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui dalam majlis penyerahan bantuan kepada petugas hadapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, hari ini.
Terdahulu, setakat petang Selasa, sembilan daerah di seluruh Sabah masih terkesan akibat bencana banjir susulan hujan lebat sejak Sabtu lalu.
Antara daerah terjejas teruk adalah Kota Belud, Beaufort, Kota Kinabalu dan Papar.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Jahid berkata, kerajaan menghargai sumbangan daripada pihak korporat yang terus mengiktiraf pengorbanan petugas-petugas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.
Untuk rekod, Sabah antara lapan negeri yang dilaksanaan PKP bermula 13 Januari hingga 26 Januari hadapan.
Sementara itu di Penampang, operasi menyelamat dan menghantar pulang mangsa banjir adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pasukan penyelamat dan anggot kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memastikan tahap kawalan kesihatan mangsa banjir dan petugas berada dalam keadaan baik.
"Jadi untuk para petugas sendiri, kita memberi taklimat untuk sentiasa beringat dan menjaga SOP mereka sepanjang bertugas.
"Yang kedua kepada mangsa-mangsa banjir ini, juga kita memaklumkan tentang SOP yang perlu mereka patuhi di sini, yang mana kita menetapkan mangsa yang masuk di sini hendaklah melalui proses saringan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Kelab Kompleks Sukan, Penampang, yang merupakan lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah itu sejak Sabtu lalu.
#banjir sabah
#kerosakan infrastruktur
#Pedalaman Sabah
#luar bandar
#kerosakan jalan
#Datuk Jahid Jahim
#Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah