Banjir Sabah: Kanak-kanak 2 tahun lemas selepas terjatuh bot penyelamat
Aizat Sharif
Februari 15, 2014 14:53 MYT
Februari 15, 2014 14:53 MYT
Sebanyak 28 pusat pemindahan banjir telah dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir yang kini melanda daerah Tenom dan Beaufort di Sabah.
Berdasarkan maklumat dari laman sesawang Portal Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), sehingga jam 11.53 pagi tadi, seramai 5,453 mangsa telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.
Jumlah tersebut pula merangkumi seramai 1,172 keluarga.
Banjir yang melanda bagaimanapun telah meragut dua nyawa apabila seorang kanak-kanak perempuan, Maisarah Bihar, 2, mati lemas selepas terjatuh dari bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dikerah untuk memberi bantuan menindahkan mangsa-mangsa banjir di daerah Keningau pada Khamis.
Ketika kejadian bot tersebut sarat dinaiki oleh mangsa-mangsa banjir yang cuba dipindahkan oleh anggota bomba dan penyelamat, namun secara tiba-tiba arus kuat menghentam bot tersebut menyebabkan mangsa-mangsa pemindahan yang berada dalam bot tersebut menjadi panik dan terus berdiri.
Menurut sumber bomba, bot tersebut hilang kawalan dan terbalik dan menyebabkan sembilan mangsa banjir termasuk Maisarah terjatuh dari bot.
Anggota bomba dan penyelamat bagaimanapun berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dari terus hanyut namun ketika mereka menyelamatkan Maisarah, ianya sudah terlambat.
Sementara itu, seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun menjadi korban lemas kedua apabila terjatuh dari jambatan berdekatan rumahnya di Kampung Lubak di Keningau malam tadi.
Mayatnya bagaimanapun berjaya ditemui oleh ahli keluarganya dan mayat dibawa ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pula melaporkan ribut petir dan hujan lebat akan berlaku di beberapa bahagian di Sabah Sarawak pada hari ini.
Ini termasuklah di bahagian pedalaman daerah Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang dan Tenom, di pantai barat daerah Tuaran dan Penampang, Kudat dan Labuan dan di Sarawak pula, bahagian Limbang dijangka akan mengalami cuaca yang sama sehingga lewat petang.
Keadaan yang sama turut dijangka berlaku di bahagian pedalaman daerah Keningau dan Tambunan, kawasan Pantai Barat di daerah Kota Belud, Kota Kinabalu dan Papar dan kota Marudu manakala di Sarawak pula adalah di bahagian Miri.
Malah, keadaan ini dijangka akan menyebabkan angin kencang dan banjir kilat.