Banjir Sabah: Jumlah mangsa menurun kepada 352 orang
Eleanor Michelle Patrick
Januari 22, 2021 11:01 MYT
Januari 22, 2021 11:01 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Sabah kini semakin pulih dengan hanya tiga buah daerah yang masih terjejas.
Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, daerah Papar merupakan yang terkini pulih dari banjir.
Menurutnya, kini hanya daerah Beaufort, Kota Belud dan Tenom yang masih terjejas.
"Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir turut merekodkan penurunan, dengan 352 orang berbanding 393 mangsa yang dilaporkan semalam.
"Begitu juga dengan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS), terkini hanya lima buah yang masih beroperasi," kata beliau.
Jabatan Pengurusan Bencana Daerah masih giat melakukan tinjauan serta pemantauan di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Sehingga kini, Sabah menjadi satu-satunya negeri yang masih terkesan banjir manakala keadaan di negeri-negeri lain kini pulih.