Banjir Sabah: Jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 607 orang

Mirlen Axtius
Januari 25, 2023 18:03 MYT
Pasukan APM dan anggota polis berusaha memindahkan mangsa banjir ke PPS di Kota Marudu. - Foto Ihsan APM Sabah.
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah memingkat kepada 607 orang berbanding 251 setakat jam 4 petang Rabu.
Menurut Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, ia melibatkan 139 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga kawasan terjejas, iaitu Paitan, Pitas dan Kudat.
"Daripada keseluruhan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan, 323 mangsa adalah golongam warga emas dan dewasa.
"Manakala 284 mangsa lagi melibatkan kanak-kanak dan bayi," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Setakat ini, terdapat lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini diaktifkan dan menempatkan kesemua mangsa banjir dari tiga daerah tersebut.
Ia melibatkan Dewan Kampung Kubambangan, Dewan Kampung Bantangon Darat, Dewan Kampung Binsulung, Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu, Surau Kampung Sibuang, Dewan Kampung Kusilad, Dewan Terbuka Matunggong dan Dewan Sekolah Kebangsaan Sikuati.
"Sementara itu, terdapat sembilan lagi pertambahan PPS yang diaktifkan, iaitu tujuh PPS baharu di daerah Kota Marudu dan dua PPS baharu di Paitan," katanya.
Mangsa di sembilan PPS baharu ini masih dalam proses pemindahan.
Dalam kenyataan itu turut menunjukkan trend situasi banjir dan jumlah mangsa di negeri itu terus meningkat.
#banjir sabah #Paitan #mangsa banjir #Pusat Pemindahan Sementara
;