Banjir Sabah: Dua sekolah di Beluran ditutup

Ruzaini Zulkepli
Januari 29, 2019 07:26 MYT
Antara lokasi yang ditutup adalah termasuk sebuah sekolah menengah di Beluran dan Pitas, selain tiga lagi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir.
Dua buah sekolah di daerah Beluran masih ditutup pada Selasa susulan banjir kilat yang belum surut di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mistirine Radin berkata, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sualok dan SK Binsulung, melibatkan seramai 432 murid dan 27 guru.
Beliau berkata, dua sekolah berkenaan terpaksa ditutup berikutan kawasan sekolah masih ditakungi air dengan banjir di lokasi tersebut juga masih belum surut sehingga menghalang laluan keluar masuk.
"Setakat hari ini, kita masih menutup dua sekolah di daerah Beluran kerana banjir di kawasan berkenaan masih belum surut sepenuhnya.
"Susulan penutupan dua sekolah itu, seramai seramai 432 murid dan 27 guru tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran namun kita akan memantau keadaan ini dari semasa ke semasa," katanya, dalam satu kenyataan medianya, pada Selasa.
Untuk rekod, semalam, JPNS mencatatkan tujuh buah sekolah di Sabah ditutup akibat keadaan banjir yang tidak mengizinkan.
Antara lokasi yang ditutup adalah termasuk sebuah sekolah menengah di Beluran dan Pitas, selain tiga lagi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir.
Kesemua sekolah ini mempunyai 1,989 murid dan 173 guru.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah menjelaskan hanya tiga daripada 19 PPS masih dibuka setakat ini iaitu di daerah kecil Paitan yang melibatkan seramai 135 mangsa banjir.
Bagaimapaun, banjir kilat susulan hujan lebat sejak 25 Januari lalu yang melanda enam daerah di negeri ini dilihat semakin pulih pada pada Selasa.
#banjir #Mistirine Radin #Pengarah Pendidikan Sabah #Sabah #sekolah