Banjir Sabah: Dua PPS dibuka di Paitan, Beluran
Radhi Muslim
Januari 25, 2023 09:05 MYT
Januari 25, 2023 09:05 MYT
BELURAN: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat sejak semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, PPS tersebut adalah di Dewan Kampung Kubambangan dan Dewan Kampung Batangon Darat, di Paitan.
Seramai 87 mangsa ditempatkan di dua PPS itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Mangsa setakat ini melibatkan 20 ketua isi rumah. Angka ini dijangka meningkat dan makluman akan disalurkan dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa daerah lain seperti Sandakan mendapati beberapa lokasi seperti Kampung Memanjang, Batu 16 dan Batu 19 sudah mula dinaiki air.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pemindahan dijalankan tetapi hujan masih lebat di daerah berkenaan.