Banjir Sabah: 118 mangsa dipindahkan di tiga PPS

Abdul Hafiz Mustadi
November 1, 2022 13:45 MYT
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat memantau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kundasang, Sabah.
KOTA KINABALU: Seramai 118 mangsa banjir daripada 29 keluarga dipindahkan di daerah Penampang, Kunak dan Sipitang susulan hujan lebat dan ribut petir sejak Isnin.
Setakat pukul 12 tengah hari Selasa, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing di Dewan Kampung Airport; Rumah Kelab Kompleks Sukan penampang serta Dewan Mini Mesapol, Sipitang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari in memaklumkan PPS Dewan Kampung Airport Batu 10 di Kunak diaktifkan pada 9 pagi Isnin dengan menempatkan 13 buah keluarga daripada 66 mangsa.
"PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang yang dibuka sejak jam 5 pagi Isnin dan menempatkan 43 mangsa daripada 15 buah keluarga.
"Manakala, PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang yang dibuka sejak 5.45 pagi Isnin menempatkan sebuah keluarga," katanya dalam kenyataan
Menurut amaran ribut petir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Isnin, jam 9.00 pagi meramalkan hujan lebat dan angin kencang akan melanda di beberapa kawasan di Sabah iaitu di pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Kudat dan Labuan sehingga 12.00 tengahari.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat memantau kejadian tanah runtuh yang berlaku di beberapa kawasan di negeri itu.
#banjir sabah #Sabah #banjir #Penampang
;