Banjir: Rumah hanyut dibawa arus, penduduk Kampung Tersang rayu bantuan
Bernama
Mac 1, 2022 00:01 MYT
Mac 1, 2022 00:01 MYT
PASIR MAS: "Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga," itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan enam penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini apabila mereka bukan sahaja ditimpa banjir, bahkan turut kehilangan tempat berteduh.
Che Hasniza Che Omar, 45, berkata hatinya luluh apabila mengetahui rumah pusaka miliknya yang diduduki lebih 27 tahun musnah dibawa arus deras Ahad lepas, iaitu ketika beliau berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.
"Saya sekeluarga berpindah ke PPS pada petang Sabtu selepas air mula memasuki kawasan penempatan kami.
"Semalam, saya pulang untuk melihat keadaan rumah dengan harapan rumah saya tidak dihanyutkan, namun setelah melihat depan mata, saya berasa sangat sedih kerana rumah pusaka yang didiami lebih 27 tahun hanyut dibawa arus sejauh 200 meter dari tapak asal," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tersang, di sini pada Selasa.
Ibu kepada enam orang anak itu berkata beliau sekeluarga kini buntu mencari tempat berteduh kerana pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk membina rumah sendiri dalam masa terdekat.
Seorang lagi penduduk yang mengalami nasib sama, Mohd Huraini Mohd, 40, pula berharap pihak kerajaan atau mana-mana agensi sudi tampil membantu membina rumah untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal.
"Ini merupakan banjir terburuk setakat ini sehingga menghanyutkan rumah saya, malah rata-rata penduduk mendakwa antara punca kejadian ini adalah disebabkan pembinaan benteng projek tebatan banjir di Kampung Lanchang Fasa Satu yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Jefny Muhammad ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu, berkata pihaknya akan berbincang dengan lebih teliti mengenai pembinaan tebatan berkenaan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kita akan mengadakan mesyuarat MKN negeri Khamis ini dengan beberapa agensi yang akan dipengerusikan Menteri Besar dan akan meminta JPS untuk membentangkan kaedah bagi mengatasi masalah itu," katanya.
-- BERNAMA