Banjir RPT Chepor: MBI, JPS bincang dakwaan sungai tidak didalamkan

Aida Aziz
Oktober 8, 2022 14:01 MYT
Rumaizi berkata berdasarkan laporan, pihak JPS juga tidak menjangka kejadian banjir kilat seteruk itu di kawasan tersebut. - Foto Astro AWANI
IPOH: Perbincangan telah diadakan di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, berhubung isu banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor, baru-baru ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menjelaskan isu berkaitan banjir lebih-lebih lagi berhubung kerja mendalamkan sungai berada di bawah bidang kuasa JPS dan Pejabat Daerah.
"Permasalahan banjir dan sungai ini bukan di berada di bawah bidang kuasa kami (MBI), tetapi di bawah kuasa negeri melalui JPS dan Pejabat Daerah.
"Rabu lalu kita sudah memanggil JPS dan pihak berkaitan untuk bermesyuarat, dan kita minta JPS lihat masalah terutamanya yang berlaku di sungai-sungai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai penduduk yang mendakwa banjir kilat di kawasan berkenaan berpunca daripada sungai yang tidak didalamkan belasan tahun.
BACA: Banjir kilat terburuk di RPT Chepor sejak 30 tahun - Mangsa
Mengulas lanjut, Rumaizi berkata berdasarkan laporan, pihak JPS juga tidak menjangka kejadian banjir kilat seteruk itu di kawasan tersebut.
"Berdasarkan laporan mereka (JPS), pun tidak menjangka Chepor akan menjadi sebegitu (banjir kilat)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MBI sudah membuat persediaan untuk menghadapi musim banjir di bandar raya.
"Memang kita sudah buat persiapan, beberapa projek pun sudah nak siap untuk hadapi banjir, kita juga sudah menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang," katanya.
BACA: Banjir kilat: Pembangunan baharu, sungai tidak didalamkan belasan tahun didakwa jadi punca?
Pada Rabu, media melaporkan banjir kilat yang berlaku di RPT Chepor di sini, berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Chepor melimpah.
Dilaporkan juga, kepadatan pembangunan baharu berhampiran Sungai Chepor, selain sungai yang tidak didalamkan, didakwa punca kejadian banjir kilat sehingga menjejaskan 93 mangsa.
#kerja mendalamkan sungai #banjir RPT Chepor #Rumaizi Baharin #sungai tidak didalamkan
;