Banjir: RHB sumbang RM1 juta bantu mangsa bencana

Bernama
Januari 12, 2022 13:37 MYT
Pasukan RHB di seluruh negara telah digerakkan untuk membantu menyampaikan bantuan kemanusiaan serta membersihkan rumah keluarga yang memerlukan bantuan. - Gambar Facebook RHB Group
KUALA LUMPUR: RHB Banking Group komited menyumbangkan RM1 juta untuk membantu keluarga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dan ia juga sebagai sebahagian daripada Program 'RHB Touch Hearts' yang sedang dilaksanakan.
Dalam kenyataan pada Rabu, RHB menjelaskan. pihaknya mengambil pendekatan aktif dalam membantu komuniti yang terjejas dengan menyediakan barangan keperluan seperti makanan kering, air minuman bersih dan keperluan asas, serta sumbangan wang tunai.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pasukan RHB yang berada di seluruh negara juga telah digerakkan untuk membantu menyampaikan bantuan kemanusiaan serta membersihkan rumah keluarga yang memerlukan bantuan.
"Kami berharap sumbangan kecil kami ini akan dapat membantu komuniti yang terjejas dalam membina semula kehidupan mereka sehingga tahap lebih baik," katanya.
Setakat ini, pasukan RHB telah membantu 400 keluarga yang terjejas di Hulu Langat dan Puchong, Selangor.
"Kami telah membantu pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana melalui Program Bantuan Mangsa Banjir dalam bentuk moratorium ke atas kemudahan pembiayaan dan pinjaman, pengecualian caj bayaran lewat dan faedah, serta pengecualian fi penggantian kad," menurut RHB.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web korporat RHB di www.rhbgroup.com. - BERNAMA
#banjir #RHB #RHB Touch Hearts #Program Bantuan Mangsa Banjir
;