Banjir rencatkan hasrat D'Esah Foodcourt tarik ramai pelanggan semasa cuti perayaan
Bernama
Januari 29, 2023 13:08 MYT
Januari 29, 2023 13:08 MYT
SEGAMAT: Banjir yang melanda daerah ini menyebabkan D'Esah Foodcourt yang baru dibuka, ditutup selama beberapa hari sekali gus merencatkan hasratnya untuk menarik lebih ramai pelanggan semasa cuti Tahun Baru Cina.
Bercakap kepada Bernama, Pengurus Kanan medan selera itu Hoo Yoon Wang, 38, reda dengan kejadian yang tidak dapat dielakkan itu.
"Kami baru saja mengadakan prapelancaran medan selera ini pada 25 Dis. Memandangkan pada masa itu Tahun Baru Cina hampir tiba, saya dan 20 vendor yang lain menetapkan matlamat untuk menarik lebih ramai pelanggan.
"Namun hujan berterusan bermula Sabtu (21 Jan) dan ramalan cuaca pula jelas menyatakan kawasan ini berisiko dilanda banjir kerana kedudukan premis ini hanya 300 meter dari Sungai Segamat," katanya.
Hoo berkata beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan vendor untuk memastikan mereka melakukan persediaan dan memindahkan peralatan perniagaan ke tempat yang lebih selamat.
Berikutan hujan lebat, seperti yang dijangkakan kawasan itu dilanda banjir pada Isnin (23 Jan) sehingga menyebabkan sedikit kerosakan, lalu Hoo memutuskan untuk menutup sementara operasi mereka.
Selepas membuat penilaian terhadap kawasan yang terjejas, Hoo percaya banjir itu menyebabkannya mengalami kerugian sehingga RM10,000.
"Kami sedang berusaha menangani kesan banjir di sini dan berharap dapat membuka semula perniagaan kami secepat mungkin, namun semuanya bergantung kepada keadaan cuaca," katanya dan menambah beliau dan peniaga lain bekerja keras membersihkan premis sejak Khamis lepas sebaik sahaja air banjir mulai surut.
Segamat yang pada awalnya menjadi daerah terburuk dilanda banjir, kini menunjukkan tanda positif apabila paras air mulai menurun, dan hanya 123 mangsa daripada 34 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
-- BERNAMA