Banjir: Rakyat Malaysia di Nepal selamat dipindahkan

Umavathi Ramayah
Oktober 1, 2024 19:49 MYT
Banjir dan tanah runtuh, disebabkan hujan lebat ibu negara Nepal, Kathmandu setakat ini mengorbankan lebih 200 orang dengan 26 lagi masih dilaporkan hilang. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Kesemua rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, disebabkan hujan lebat ibu negara Nepal, Kathmandu sudah dipindahkan.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal, Mohd Firdaus Azman memberitahu, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal menjangkakan hujan akan berterusan sehingga Jumaat ini.
"Memandangkan semua akses ke luar Lembah Kathmandu musnah berikutan tanah runtuh dan banjir, rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Kathmandu dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mohd Firdaus turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di negara itu supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.
"Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu digesa berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my dengan kadar segera," tambahnya.
Beliau memberitahu, laporan Pengurusan Bencana Negara Nepal memaklumkan hujan yang turun sejak Jumaat yang lalu mencatatkan jumlah hujan tertinggi pernah direkodkan di negara tersebut.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu di alamat: Bakhundole-3, Lalitpur, Kathmandu, Nepal atau menghubungi +977-15445689 atau +977-9801008000 (kecemasan) selain emel kepada mwkathmandu@kln.gov.my.
Setakat ini, bencana itu mengorbankan lebih 200 orang dengan 26 lagi masih dilaporkan hilang.
#hujan lebat #rakyat Malaysia #tanah runtuh #banjir nepal
;