Banjir Pulau Pinang: Terima kasih, PM Najib - Guan Eng
Astro Awani
November 8, 2017 21:48 MYT
November 8, 2017 21:48 MYT
Selepas dilanda musibah banjir yang disifatkan paling buruk di Pulau Pinang, pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang politik tampil menghulurkan bantuan kepada semua mangsa yang terjejas.
Situasi itu ternyata melegakan kerajaan negeri yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban mangsa.
Menerusi kenyataannya pada Rabu, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun padang bagi meninjau keadaan mangsa banjir dan mempertimbangkan peruntukan sejumlah RM1 bilion yang diluluskan di bawah pelan Malaysia lima tahun sebelum ini.
Katanya, Pulau Pinang tidak bernasib baik apabila terkena tiga kesan limpahan bukan sahaja daripada Taufan Damrey yang melanda Vietnam pada 4 November lalu, tetapi juga angin kencang selaju 40 kilometer sejam yang tidak pernah terjadi di negara ini sebelum ini.
Katanya, hujan lebat dan banjir di Kedah turut memburukkan keadaan apabila menyebabkan peningkatan jumlah air yang mengalir ke sungai di negeri itu sehingga melimpah ke tebing sekali gus mengakibatkan banjir terburuk di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Menerusi kenyataannya, beliau berkata tumpuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini ialah meneruskan kerja-kerja bantuan dan menyelamat bagi memastikan keadaan kembali normal.
Apa yang penting, katanya, adalah memastikan mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara dapat kembali ke rumah masing-masing secepat mungkin.
Menurut Guan Eng, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan agensi-agensi lain untuk mengepam air kembali ke sungai apabila paras sungai menurun.
Usaha itu adalah bagi mencepatkan air banjir surut dan membolehkan mangsa banjir pulang ke kediaman masing-masing.
Kerajaan Negeri juga memandang serius kejadian tanah runtuh yang disebabkan oleh ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan di bahagian Pulau, terutamanya berhampiran Bukit Bendera.
Ujarnya, tindakan segera akan diambil bagi menangani situasi itu dan berharap orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
#Banjir Pulau Pinang
#Bukit Bendera
#Lim Guan Eng
#mangsa banjir
#Najib Razak
#pusat pemindahan
#RM1 bilion
#tanah runtuh