Banjir: PPS pertama dibuka di Terengganu, 33 orang dipindahkan

Astro Awani
November 13, 2019 07:57 MYT
Surau di Kampung Cheting di Hulu Terengganu dijadikan pusat pemindahan sementara pertama di negeri ini yang menempatkan 33 mangsa banjir malam tadi. Astro AWANI
Seramai 33 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Cheting di sini mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat malam tadi, susulan hujan lebat.
Mangsa banjir yang termasuk 11 kanak-kanak itu ditempatkan di surau kampung itu kira-kira jam 8 malam tadi, PPS pertama yang mula dibuka di Terengganu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Salahuddin Isa berkata, hujan yang melanda sejak petang Rabu menyebabkan air Sungai Kepor melimpah.
Ekoran itu, air mula menaiki rumah penduduk di kawasan berhampiran sehingga mencecah paras pinggang.
"Banjir ini disebabkan limpahan air Sungai Kepor yang tersumbat oleh sampah. Sampah, atau himpunan sampah, pada sungai tersebut, jadi tersumbat pada jambatan dan limpahan air sungai," kata Salahuddin.
Katanya, seramai enam anggota digegaskan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi pemindahan kesemua mangsa.
Pihaknya mengambil masa selama dua jam bagi menempatkan mangsa di tempat yang selamat.
Bagaimanapun, keadaan air mula kembali surut pada pagi ini.
#air sungai melimpah #banjir kilat #bomba #hujan lebat #Hulu Terengganu #Kampung Cheting #mangsa #mangsa banjir #PPS #pusat pemindahan #Salahuddin Isa #sampah #Sungai Kepor #terengganu
;