Banjir: Polis Pahang diletakkan dalam keadaan siap siaga

Bernama
Oktober 9, 2024 20:46 MYT
Yahaya berkata pihaknya juga melakukan persiapan awal dengan menjalankan latihan dan menyediakan aset sebagai langkah bersiap sedia menghadapi bencana luar jangka yang mungkin berlaku. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Lebih 2,000 anggota dan pegawai polis akan terlibat secara khusus dalam penugasan banjir di Pahang pada musim tengkujuh kali ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya juga melakukan persiapan awal dengan menjalankan latihan dan menyediakan aset sebagai langkah bersiap sedia menghadapi bencana luar jangka yang mungkin berlaku.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Banjir, polis akan berkolaborasi dengan agensi-agensi lain bagi memastikan operasi menyelamat berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang nahas.
"Kita sudah mengadakan mesyuarat bagi mengatur pergerakan semasa banjir dan aset sedia ada dilihat mencukupi kerana ia merupakan gabungan aset bersama agensi menyelamat yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Pelancaran Projek Wakaf Van Jenazah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yahaya berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang berkemungkinan berlakunya banjir selain memberi tumpuan terhadap aliran sungai di Pahang.
"Kita sentiasa meneliti laporan kaji cuaca dan melakukan pemantauan tidak hanya di sepanjang Sungai Pahang tetapi melibatkan beberapa sungai lain di negeri ini. Jika berlaku banjir, kita akan segera menjalankan operasi pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah disediakan," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya pada awal November dijangka berlaku lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.
Mengulas kes seorang pemuda mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan garpu di sini pada 2 Okt lepas, Yahaya berkata polis mendapati suspek memiliki rekod sakit mental.
Beliau berkata pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kini sedang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap suspek berusia 25 tahun itu sebelum laporan perubatan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Kecederaan yang dilakukan suspek kepada mangsa hanya ringan tetapi kita tetap menjalankan siasatan berkaitan kes itu," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #PPS #van jenazah #banjir
;