Banjir: Polis nasihat jangan redah arus deras, berhati-hati ketika memandu

Bernama
Disember 1, 2024 14:15 MYT
PDRM menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran banjir yang ditempatkan di kawasan terjejas akibat bencana alam itu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika memandu sepanjang musim Monsun Timur Laut, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia susulan risiko hujan lebat, banjir, arus deras dan air bertakung yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
"Contohnya seperti yang terjadi kepada seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dihanyutkan arus deras banjir di Lubok Cina, Melaka pada hari Jumaat lepas. Kita nasihatkan orang ramai untuk berhati-hati memandu dan elakkan mengambil risiko untuk meredah banjir, arus yang deras," katanya ketika dihubungi pagi ini.
Beliau berkata orang ramai juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa dan papan tanda amaran banjir yang ditempatkan di kawasan terjejas akibat bencana alam itu.
Mohd Yusri seterusnya menyarankan orang ramai untuk mendapatkan perkembangan terkini laluan yang terjejas akibat banjir, lencongan jalan dan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan perjalanan lebih selamat.
Keadaan banjir di sembilan negeri di Semenanjung dilaporkan semakin buruk selepas jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 malam tadi.
-- BERNAMA
#berwaspada ketika memandu #jangan redah air #nasihat polis #Banjir 2024 #monsun timur laut
;