Banjir: Pok Ren pinjamkan 10 bot bantu mangsa

Nur Fazlizai Ali
Disember 20, 2021 07:40 MYT
Pok Ren bersama beberapa bot miliknya yang dipinjamkan untuk kegunaan mencari dan menyelamat mangsa banjir. - Astro AWANI
DUNGUN: Tersentuh dan prihatin dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri membuat seorang pekerja swasta di Dungun meminjam bot miliknya untuk misi bantuan mangsa banjir.
Zainuren Kalil, 51, berkata hatinya cukup pilu melihat bencana alam yang melanda itu sehingga ada yang menggunakan pelbagai alternatif untuk menyelamat diri.
Susulan itu, dia bersama ahli keluarganya sepakat untuk meminjamkan 10 buah bot yang dibelinya kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta individu bagi membantu mangsa yang terkesan dengan bencana alam itu.
Katanya untuk memberikan sumbangan yang lain mungkin agak sukar justeru dia menyumbangkan kemudahan yang ada untuk memudahkan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
Jelasnya setakat ini sebanyak tujuh buah bot telah dipinjamkan untuk kerja menyelamat di Pahang dan Selangor.
"Kesian tengok ada yang terpaksa menggunakan tong polisterin, tong ikan untuk membawa kanak-kanak jadi kami mempunyai sampan, jadi kami bagi mereka gunakan.
"Kami tidak mampu untuk ke sana jadi apa yang kami mampu buat adalah menghantar bot untuk membantu usaha menyelamat mangsa," katanya.
Zainuren berkata, dia membeli bot berkenaan pada awal tahun lalu untuk disewakan kepada pemancing.
Zainuren, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Ren, berkata bagaimanapun hasrat itu terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 dan juga keadaan cuaca semasa.
"Semasa musim ribut dan musim PKP bot ini tidak digunakan jadi kami berbincang baik ia digunakan untuk misi bantuan dan menyelamat mangsa banjir.
"Ada dalam 10 buah jadi sesiapa ingin menggunakannya untuk misi bantuan, boleh berbuat demikian secara percuma," katanya.
Jelasnya sebanyak RM10,000 telah diperuntukkannya untuk membeli kesemua bot berkenaan.
Katanya lagi dia sedikit pun tidak merasa rugi dengan meminjamkan bot berkenaan kepada orang ramai malahan berbangga melihat bot itu dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan ketika ini.
#banjir #bot #mangsa #misi menyelamat
;