Banjir: PM ke Pantai Timur esok, bakal umum bantuan
Astro Awani
Mac 1, 2022 10:56 MYT
Mac 1, 2022 10:56 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual ke Kelantan dan Terengganu esok susulan bencana banjir yang melanda dua negeri itu.
Dalam lawatan itu, beliau akan mengumumkan bantuan-bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana itu.
Perkara ini dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kepada Dewan Rakyat hari ini.
"Saya kira, pengumuman akan diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan bantuan wang ihsan dan bantuan-bantuan lain kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu," katanya.
Dr Abd Latiff berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang ingin tahu bantuan yang akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir Pantai Timur yang terjejas ketika ini.
Menjawab soalan asal Wan Hassan, Abd Latiff berkata, tindakan drastik telah diambil oleh pihak berwajib dalam meningkatkan kesiapsiagaan di peringkat negeri dan daerah dalam mendepani bencana itu.
"Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mempengerusikan Mesyuarat Task Force Pengurusan Banjir Monsun Laut, yang kita jangkakan ini merupakan fasa keenam, mungkin fasa terakhir bagi menangani isu-isu berkaitan.
"Ekoran daripada itu, 10,000 petugas barisan hadapan dapat digembeling bagi membuat operasi menyelamat ke tempat-tempat yang ditetapkan," katanya.
Wan Hassan ingin tahu langkah-langkah drastik yang diambil kerajaan dalam menangani musibah banjir yang baru melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.