Banjir: PM arah segerakan penyambungan bekalan elektrik

Astro Awani
Disember 22, 2021 07:51 MYT
Jelas Ismail Sabri, mangsa banjir perlu bekalan elektrik untuk mencuci rumah, mengepam keluar air banjir, pencahayaan serta keselesaan mereka. - Foto Twitter/IsmailSabriYaakob
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya penyambungan bekalan elektrik di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir disegerakan apabila keadaan kembali selamat.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ismail Sabri mengeluarkan arahan itu kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
"Mangsa banjir perlu bekalan elektrik untuk mencuci rumah, mengepam keluar air banjir, pencahayaan serta keselesaan mereka.
"Disebabkan masih ada kawasan yang ditenggelami banjir, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menangguhkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Saya memberi jaminan, bekalan elektrik akan disambung sesegera mungkin apabila banjir mulai surut, kerja-kerja pembersihan dilakukan serta tiada kerosakan besar pada pencawang," katanya.
[INFOGRAFIK] Panduan keselamatan elektrik semasa musim tengkujuh
BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Saya telah mengarahkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli membuat penyambungan bekalan elektrik SECEPAT MUNGKIN APABILA SELAMAT, kepada kawasan terjejas banjir. Mangsa banjir perlu bekalan elektrik untuk mencuci rumah, mengepam keluar air banjir, pencahayaan serta keselesaan mereka pic.twitter.com/610tZIFoco

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) December 22, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata terdapat lebih 350 kawasan di Lembah Klang terputus bekalan elektrik ekoran banjir.
Jelasnya, atas faktor keselamatan awam, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih berbahaya.
Ini kerana, kejadian litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran.
#ismail sabri yaakob #TNB #bekalan elektrik #Gangguan elektrik