Banjir: Pesakit kronik rasa selamat pindah ke PPS
Abd Razak Mohd Ali
Disember 20, 2021 17:19 MYT
Disember 20, 2021 17:19 MYT
TELUK INTAN: Walaupun mungkin tidak seperti di rumah sendiri, pesakit kronik berasa lebih selesa dan selamat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dilanda banjir.
Bagi mereka, keselamatan dan kesihatan lebih penting, berbanding harta benda.
Beberapa orang pesakit kronik yang ditemui di PPS di SMK Datuk Abdul Rahman Talib, Batu 4, Changkat Jong, Teluk Intan, Perak berkata, sepanjang di pusat itu, banyak pihak mengambil berat terhadap mereka.
Bagi Nur Jamaayah Suraji, dia sangat bersyukur dipindahkan ke PPS kerana jika terus berada di rumah, tiada siapa yang boleh mengambil berat dan perhatian mengenai keadaan kesihatannya.
Kata Nur Jamaayah, 48, sakit kaki yang dihidapi selama empat tahun serta penyakit buah pinggang benar-benar membuatkan dia tidak berupaya menguruskan dirinya.
Kesulitan tambah berganda apabila suami Nur Jamaayah juga berhadapan dengan masalah penglihatan.
“Di sini (PPS) selesa sikit… makan minum ada orang jaga. (Lagipun) susah duduk (tinggal) dengan emak… emak pun ibu tunggal, jadi tak ada siapa boleh ambil tahu mengenai kami.
“Bila pindah di sini, selamat daripada bahaya (bencana),” kata Nur Jamaayah.
Seorang lagi mangsa banjir dan pesakit kronik, Atan Arshad berkata, berikutan penyakit kencing manis dan jantung yang dihadapinya menyebabkan dia sangat bimbang untuk terus berada di rumah khususya semasa bencana banjir ketika ini.
Anak-anaknya turut menasihatkan Atan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat memandangkan dia tinggal seorang diri di rumah.
“(Memandangkan) saya sudah uzur ditambah dengan penyakit yang ada… rumah pula dilanda banjir, jadi saya rasa keselamatan dalam rumah itu pun ancaman bagi saya.
“Jadi saya diarahkan pindah, anak saya kata lebih baik abah cari tempat yang selamat, nanti berlaku apa-apa payah sebab abah tinggal seorang,” kata Atan lagi.
Kesyukuran dipanjatkan warga emas itu selepas berpindah ke PPS kerana pada petang semalam, air banjir mula naik.
Ini kerana, kata Atan, 64, luka di kakinya masih belum sembuh dan risiko kakinya terendam dalam air banjir akan mengundang masalah yang lebih besar buat dia yang mengidap kencing manis.
Sementara itu, setakat jam 4 petang Isnin, seramai 140 mangsa banjir daripada 35 keluarga dipindahkan ke PPS di SMK Datuk Abdul Rahman Talib.