Banjir: Pesakit kanser bimbang selepas rumah dilimpahi air
Nur Fazlizai Ali
Januari 10, 2021 08:30 MYT
Januari 10, 2021 08:30 MYT
KEMAMAN: Bencana banjir yang kembali melanda sejak November lalu membuatkan seorang warga emas terkenang bencana alam yang pernah dilaluinya pada tahun 2013.
Husin ismail, 76, berkata fenomena banjir besar itu telah menyebabkan kediamannya di Felda Seberang Tayor, Kemaman terjejas teruk.
Biarpun kerap kali melalui episod bencana alam itu namun banjir yang melanda pada kali ini menimbulkan kebimbangan kerana penyakit barah tulang yang dihadapinya sejak setahun yang lalu.
Menurut Husin, keadaan kesihatannya itu menyebabkan dia tidak mampu bergerak dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda dan bantuan orang.
Apatah lagi ini merupakan kali keempat dia bersama keluarganya berpindah ke pusat pemindahan banjir.
“Baru-baru ini rumah saya dilimpahi air banjir sehingga ke paras lutut. Dalam keadaan saya begini yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang lain, sudah pasti saya bimbang,” jelasnya.
Katanya hampir 50 tahun menetap di kampung berkenaan kediamannya pasti terjejas dengan bencana alam itu.
Lazimnya mereka akan menghuni pusat pemindahan ini selama tiga hingga empat hari.