Banjir: Peruntukan darurat RM5.4 juta bantu kerja pembersihan

Bernama
Disember 26, 2021 19:21 MYT
KPKT turut melipatgandakan aset selain bekerjasama dengan kementerian lain bagi mempercepatkan operasi pascabanjir dan pembersihan awam di kawasan terjejas. - Gambar fail
JELEBU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setakat ini menyalurkan RM5.4 juta menerusi peruntukan darurat bagi kerja pembersihan, kutipan dan pelupusan sisa banjir kepada lima negeri yang terjejas dalam bencana itu.
Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata daripada jumlah itu sebanyak RM2.9 juta diagihkan kepada Pahang, Selangor (RM2.1 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM255,671), Melaka (RM145,196) dan Negeri Sembilan (RM23,684).
Katanya peruntukan tersebut juga mungkin ditambah sekiranya ada keperluan.
"Pahang dan Selangor merupakan negeri yang besar jadi ia memerlukan lebih peruntukan untuk tujuan itu. Soal pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal adalah di bawah tanggungjawab KPKT, namun kerjasama kerajaan negeri juga diperlukan.
"Petugas SWCorp juga sudah turun ke lapangan dan kami turut bayar gaji pekerja pembersihan melalui peruntukan itu. Setakat ini SWCorp menggerakkan 234 unit jentera dan peralatan khusus bagi membantu kerja pascabanjir di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Puom di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk
Pada 22 Dis lepas, KPKT bersama agensi di bawahnya mengumumkan peruntukan lebih RM60 juta bagi usaha pemulihan banjir di seluruh negara.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata KPKT turut melipatgandakan aset selain bekerjasama dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi mempercepatkan operasi pascabanjir dan pembersihan awam di kawasan terjejas.
Menurutnya KPKT juga akan menambah tong Roll On Roll Off (RORO) terutama di Selangor kerana negeri itu mempunyai timbunan sampah yang banyak, sekali gus mengelak penyebaran penyakit dan memastikan kesihatan rakyat diutamakan.
"Ia juga berkait dengan soal psikologi dan kesihatan mental rakyat. Justeru, mereka mahu segera keluar daripada kesulitan ini," katanya.
-- BERNAMA
#KPKT #Banjir 2021 #Reezal Merican Naina Merican #pembersihan pascabanjir
;