Banjir: Perkhidmatan KTM Komuter dan antara bandar terjejas

Madiha Abdullah
Disember 18, 2021 21:38 MYT
Banjir di Selangor turut menjejaskan perkhidmatan Skypark Link dan KTM Komuter. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kejadian banjir di kawasan antara stesen KTM Subang Jaya dan Batu Tiga telah mengganggu perkhidmatan Skypark Link dan KTM Komuter dari KL Sentral ke Pelabuhan Klang, dan sebaliknya.
KTM menerusi laman Facebooknya berkata, tren dari KL Sentral menuju ke Pelabuhan Klang akan berhenti di stesen Subang Jaya sebelum kembali ke KL Sentral, manakala tren dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur akan berhenti di Batu Tiga sebelum kembali ke stesen asalnya.
Katanya, selain itu, perkhidmatan tren antara bandar ke arah Pantai Timur juga terganggu akibat banjir.
Ekspres Rakyat Timuran (No. 26 dan 27) dari JB Sentral ke Tumpat, serta kembali, telah dibatalkan.
"Penumpang boleh membatalkan perjalanan mereka di kaunter atau dalam talian, dan mendapatkan bayaran balik penuh," katanya.
Turut terjejas ialah perkhidmatan tren ulang-alik Pantai Timur (Shuttle Timuran) iaitu Tren 58 (berhenti di Gua Musang), Tren 59 (berlepas dari Gua Musang), Tren 60 (berlepas dari Dabong), dan Tren 57 (berhenti di Dabong). .
"Untuk info lanjut sila hubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 03-2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui messenger Facebook rasmi KTMB," katanya.
#banjir #KTMB #Pantai Timur #komuter
;