Banjir: Perkemas peralatan Jabatan Meteorologi dan agensi bencana - Bastien

Astro Awani
Disember 24, 2021 05:15 MYT
Bastien (tengah) bersama Pemuda UMNO Segamat di pusat pengumpulan bantuan di SK Dusun Tua dengan membawa bantuan yang diperolehi daripada penduduk Segamat. -Foto Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memperkemaskan Jabatan Metereologi dan agensi banjir negara dengan alatan terkini dan tidak lagi leka dengan prosedur pengurusan serta sistem yang diguna pakai selama ini.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, alasan Jabatan Metereologi untuk tidak memberi amaran awal semasa bencana banjir kali ini memang sukar untuk diterima rakyat yang sedang bersedih akibat malapetaka berkenaan.
Tegasnya, bencana yang dikatakan tidak dijangka ini benar-benar telah menguji keupayaan agensi kerajaan.
"Sistem amaran awal boleh mengurangkan kemusnahan harta benda dan mengelak kehilangan nyawa. Kelemahan ini harus diatasi dan tidak boleh berulang.
"Berbilion ringgit harta benda musnah dan ditambah lagi dengan angka kehilangan nyawa benar-benar menyedihkan.
"Skala bencana dan kerosakan kali ini terlalu besar.
"Hulu Langat hampir menjadi 'ground zero' dan menguji bukan sahaja kebolehan agensi kerajaan, malah pemimpinnya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
BACA: Banjir Selangor jadi pengalaman, pengajaran urus bencana
BACA: Banjir: Penduduk buntu hendak baik pulih kediaman yang musnah
Dalam pada itu kata Bastien, jumlah kerosakan dan kemusnahan yang bernilai berbilion ringgit merupakan akibat malapetaka yang tidak dapat dielakkan akibat air naik terlalu deras.
"Kita melihat bantuan datang daripada rakyat Malaysia yang prihatin dari seluruh negara sejauh Johor dan Kelantan membawa pelbagai barangan.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) contohnya harus mengurus barangan yang begitu banyak disumbangkan terutamanya makanan dan barangan keperluan harian.
"Selepas selesai mangsa banjir mengemas, kita harap semua barangan ini sampai ke setiap rumah yang terlibat. Jangan terlalu 'rigid' dalam soal menyalur barangan," tegasnya.
Sementara itu ujarnya, Kementerian kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas ini harus mula meneliti semula skim perlindungan insurans bencana alam yang lebih mesra dan murah.
"Skim perlindungan ini harus dipromosi secara agresif mengambil kira perubahan iklim dunia yang semakin tidak boleh dijangka," katanya.
Bastien turut memuji peranan yang dimainkan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad yang menjalankan tugasan bantuan serta menyelamat yang sangat efektif dan pantas kepada mangsa terlibat.
Pada Jumaat, Bastien bersama Pemuda UMNO Segamat telah menyampaikan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Changgang selain menyalurkan khidmat pembersihan rumah di sekitar sekitar Banting dengan bantuan JBPM.
Selain itu, Pemuda UMNO Segamat juga ke pusat pengumpulan bantuan di SMK Kota Warisan dan SK Dusun Tua dengan membawa bantuan yang diperolehi daripada penduduk Segamat.
#jkm #banjir #Jabatan Meteorologi #bastien onn
;