Banjir: Perak tambah, tingkat selenggara siren amaran awal
Abd Razak Mohd Ali
September 4, 2022 15:32 MYT
September 4, 2022 15:32 MYT
SUNGAI SIPUT: Perak mahu menambah bilangan stesen siren amaran awal banjir khususnya di kawasan sungai utama seperti Sungai Perak, bagi memastikan penduduk lebih bersiap siaga menghadapi banjir besar yang diramalkan November ini.
Dalam masa sama, kerajaan negeri mahu meningkatkan kerja-kerja selenggaraan stesen yang sedia ada di beberapa lokasi.
Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia adalah antara langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana itu, selain persiapan berbentuk logistik, bekalan makanan, serta persiapan di pusat pemindahan.
"Pada hari ini memang kita akan mempertingkatkan siren-siren pada keseluruhan kawasan yang sering berlaku banjir dan ini akan memberikan amaran awal ataupun persiapan awal kepada mangsa-mangsa banjir yang memang mereka sentiasa menghadapi banjir.
"Tapi banyak keadaannya atas tindakan yang dilakukan oleh kerajaan, maka kita akan mempertingkatkan untuk mengurangkan ataupun mengatasi banjir yang sering berlaku, sama ada di bandar ataupun di luar bandar," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna anjuran bersama kelas Tabika Perpaduan Zon Sungai Siput (Utara) di Dewan Rimba Panjang, pada Ahad.
Menurutnya, beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengendalikan empangan di Sungai Perak turut memantau situasi dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar.
Pada Jumaat, media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.