IPOH:Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim Al-Baraqah di Matang ditutup pagi ini.

Ia susulan kesemua 39 mangsa daripada 11 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir yang melanda Kampung Sungai Rentaka, Kampung Melawati dan Kampung Jebong Kiri surut.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak, PPS itu yang dibuka pada Jumaat lalu, dan ditutup sepenuhnya jam 8.45 pagi ini.

Dengan penutupan itu, mangsa banjir di Perak kini berkurangan kepada 318 orang daripada 102 keluarga.

Empat lagi PPS yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayan di Manjung yang menempatkan 30 mangsa; SK Changkat Lobak (75) dan SK Parit Haji Aman di Parit Buntar (168).

BACA: Satu lagi PPS baru dibuka di Perak, mangsa banjir meningkat