Banjir Perak: Polis sedia kenderaan ambil, hantar pelajar SMK Alor Pongsu
Aida Aziz
Mei 21, 2024 08:00 MYT
Mei 21, 2024 08:00 MYT
BAGAN SERAI: Peka dengan permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan terjejas banjir di sini, Polis Daerah Kerian mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk pelajar pergi dan balik sekolah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff, bantuan itu diberikan kepada 46 pelajar SMK Alor Pongsu yang terkandas susulan jalan dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
"Pada 18 Mei lalu, hujan lebat melanda daerah Kerian sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan paling teruk terjejas di jalan kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai.
"Paras air naik sehingga 0.5 meter dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan serta menjejaskan aktiviti harian termasuk 46 orang pelajar SMK Alor Pongsu, dari Masjid Changkat Lobak ke sekolah itu.
"Sehubungan itu, pihak polis menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk mengambil dan menghantar para pelajar dari penempatan mereka ke sekolah.
"Ia sekali gus meringankan beban yang dihadapi ibu bapa mereka dalam situasi banjir," katanya dalam kenyataan media semalam.
Juna berkata, bantuan yang diberikan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kerian itu juga penting dalam memastikan pelajar hadir ke sekolah dan tidak keciciran dalam pembelajaran.
Ia selain tidak menjadikan penutupan jalan tersebut sebagai penghalang untuk mereka hadir ke sekolah.
"Usaha memberi khidmat mengambil dan menghantar para pelajar akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga laluan itu pulih daripada banjir dan dibuka semula untuk pengguna lalu lintas," katanya lagi.
Tambahnya, walaupun visi PDRM adalah sebagai peneraju keselamatan bagi mengekalkan negara selamat dan aman, namun bakti kepada masyarakat turut diutamakan sesuai dengan moto, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.