Banjir: Peperiksaan SPM diteruskan, keputusan dibuat tanpa ihsan - Siti Zailah
Syafik Shukri Jalil
Disember 1, 2024 14:25 MYT
Disember 1, 2024 14:25 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) didakwa merupakan satu keputusan yang dibuat tanpa ihsan.
Ringkasan AI
- Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) didakwa satu keputusan yang dibuat tanpa ihsan.
- Ini kerana menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas banjir.
- Justeru, Siti Zailah berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan keputusan yang diumumkan tadi dan menangguhkannya ke satu tarikh yang lain.
Ini kerana menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas banjir.
Pada masa sama ujarnya, ramai dalam kalangan mangsa yang tidak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan selepas berdepan musibah banjir kali ini.
‘’Saya sebenarnya sangat terkejutlah seolah-olah keputusan dibuat tidak ada ihsan dalam keadaan rakyat memerlukan pertolongan sepatutnya jentera kerajaan digunakan untuk menyelamat mangsa yang dalam kelemasan yang dalam keadaan susah.
‘’Tetapi terpaksa dikerahkan untuk memunggah dan mengangkut pelajar-pelajar dan saya dapat maklum daripada guru dan saya jumpa polis tadi dan semalam saya jumpa guru besar, semua menyatakan hasrat kalau boleh ditangguhkan sebab mereka dalam keadaan keluarga, anak semua dalam keadaan tidak bersedia, rumah mereka tenggelam termasuk dengan segala peralatan, buku sekolah dan pakaian,’’ katanya.
Siti Zailah berkata demikian kepada Astro AWANI sewaktu siaran langsung Buletin AWANI di Rantau Panjang, Kelantan pada Ahad.
Justeru, Siti Zailah berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan keputusan yang diumumkan tadi dan menangguhkannya ke satu tarikh yang lain.
‘’Sepatutnya dengan sifat ihsan yang ada dalam dasar Madani ni, sepatutnya dipraktikkan semasa bencana begini sebab itulah saya mengharapkan kepada Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri supaya pertimbangkan kalau boleh tangguhkan peperiksaan SPM.
‘’… dalam keadaan rakyat sepuluh negeri sedang berdepan musibah hampir 100 ribu rakyat di Kelantan sedang dalam keadaan kesempitan. Rumah ada yang senget, ada yang kenderaan rosak.
‘’Bayangkan saya jumpa tadi seorang anggota polis, mengalir air mata dia kata dia (anggota polis) terpaksa walaupun rumah dia tenggelam, terpaksa tinggal kerana nak jaga keselamatan mengiring anak-anak ke pusat peperiksaan.
‘’Begitu (juga) semalam saya jumpa dengan seorang pengetua sekolah dia pun menyatakan hasrat sama sebab sekolahnya lebih daripada 1,000 mangsa banjir berada di sekolahnya dan dia kena handle pula pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan,’’ tambahnya.
Terdahulu, KPM menerusi menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM yang dijadualkan bermula 2 Disember tetap akan diteruskan walaupun dalam situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Ujarnya, berkata pihak KPM sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan kelancaran SOP Ops Payung buat semua calon yang menduduki peperiksaan itu bermula esok hingga Khamis.