Banjir: Penutupan pintu air di Taman Sri Muda bagi elak limpahan lebih besar- Amirudin

Rahimah Abdullah
November 9, 2022 18:21 MYT
Penutupan pintu air di Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa dibuat semalam susulan air pasang yang tinggi pada ketika itu. - FB Mohamad Nor Zakaria
SHAH ALAM: Penutupan pintu air di Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa dibuat semalam susulan paras air pasang yang tinggi pada ketika itu, ujar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan, sekiranya pintu air tidak ditutup, situasi banjir yang lebih buruk mungkin boleh berlaku.
"Saya nak maklumkan terutama di Taman Sri Muda dan kawasan terjejas banjir sebab ia melibatkan air pasang yang tinggi. Bila air pasang, pintu air Taman Sri Muda kita terpaksa tutup.
"Kalau kita tak tutup, maka limpahan air laut akan masuk dan memburukkan keadaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabatnya di sini pada Rabu.
Pintu air terpaksa ditutup elak limpahan air laut - MB Selangor
Jelasnya, semasa kejadian banjir di Shah Alam pada Selasa, semua pam air berfungsi dengan baik dan mereka yang bertanggungjawab telah bersedia menghadapi sebarang situasi.
"Pam semua berfungsi dan kita nampak lebih bersedia, Pos kawalan operasi beroperasi semalam, dan menteri yang bertanggungjawab juga telah turut sama turun dan persediaan semua baik," ujarnya.
Penutupan pintu air dan hujan lebat punca banjir kilat di Shah Alam
Dalam pada itu, katanya, banjir yang melanda Shah Alam semalam tidak melibatkan pemindahan mangsa ke pusat penempatan sementara.
"Hanya melibatkan beberapa keluarga namun mereka tidak perlu berpindah. Pam-pam kita juga bergerak dengan aktif semalam," tambahnya.
#Amirudin Shari #banjir #taman sri muda #pintu air
;