Banjir: Penternak rusa di Pasir Mas bimbang kandang ternakan tenggelam
Bernama
November 30, 2024 13:00 MYT
November 30, 2024 13:00 MYT
PASIR MAS: Seorang penternak bimbang kandang rusa miliknya di Kampung Apam Kepas Lati, di sini akan ditenggelami banjir jika hujan lebat sejak empat hari lepas masih berterusan.
Ringkasan AI
- Kandang rusa ditenggelami banjir: Nik Hashim Nik Nordin, seorang penternak di Kampung Apam Kepas Lati, bimbang kandang rusanya akan terus ditenggelami banjir akibat hujan lebat yang berterusan.
- Nilai rusa dan langkah sementara: Kandang seluas 0.4 hektar yang menempatkan 40 ekor rusa bernilai kira-kira RM100,000 telah dinaiki air. Nik Hashim membina platform kayu untuk memastikan rusa-rusanya berada di tempat yang lebih tinggi.
- Keadaan semasa dan usaha penyelamatan: Jalan masuk ke kampung juga dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan berat. Pasukan penyelamat menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas.
Nik Hashim Nik Nordin, 51, berkata ketika ini sebahagian besar kawasan kandang berkeluasan 0.4 hektar yang menempatkan 40 ekor rusa itu, telah dinaiki air sedalam setengah meter.
Beliau berkata nilai keseluruhan rusa jenis Timorensis, Axis dan Nilgai yang terdapat di kandang itu kira-kira RM100,000 dan dia mempunyai pelanggan dari seluruh negara termasuk memasarkannya menerusi media sosial.
"Sekarang saya bina platform daripada batang kayu yang saya letakkan di satu kawasan kandang supaya tempat itu jadi tinggi dan semua rusa berkumpul di kawasan itu sekarang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Nik Hashim berkata ini kali pertama kawasan kandang rusa miliknya dilanda banjir sejak mengusahakannya sembilan tahun lepas dan dia berharap hujan berhenti serta air surut sekurang-kurangnya bagi memudahkan membina platform lebih tinggi untuk haiwan ternakannya berlindung.
Sementara itu, tinjauan ke kandang rusa berkenaan mendapati haiwan itu berkumpul di satu kawasan yang tinggi dan kandang itu dikelilingi pagar setinggi kira-kira 2.5 meter.
Selain itu, jalan masuk ke Kampung Apam Kepas juga dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat dengan trak pasukan penyelamat dilihat keluar masuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk.
Ini berikutan sebahagian rumah di kawasan berkenaan tidak dinaiki air dan ramai penduduk dilihat keluar memantau keadaan paras air dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA