Banjir: Pengusaha warung ingin segera kembali berniaga

Bernama
Disember 28, 2023 17:21 MYT
Peniaga Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, mula membersihkan kedainya yang disaluti lumpur selepas banjir mula surut ketika tinjauan di Kampung Pasir Raja hari ini. - Foto BERNAMA
DUNGUN: Situasi banjir yang semakin pulih dan cuaca bertambah baik membolehkan hampir 150 penduduk Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun, dekat sini mulai pulang dan membersihkan rumah masing-masing sejak pagi tadi.
Pengusaha warung Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, berkata dia sememangnya tidak sabar untuk membersihkan warung yang terletak di hadapan rumahnya memandangkan mata pencariannya terjejas ekoran banjir yang melanda bermula malam Sabtu lepas.
Katanya, lokasi yang terletak di tepi sungai menyebabkan warung yang diusahakan keluarganya sejak 80-an itu tidak akan terlepas daripada dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.
"Hujan yang lebat bermula Jumaat menyebabkan warung dan rumah kami dinaiki air sehingga paras lutut. Mujurlah kami sempat menyimpan semua barang di tempat tinggi, jadi tidak banyak yang rosak," katanya ketika ditemui Bernama di warungnya di sini hari ini.
Tengku Maimun yang dibantu suami Zulkarnain Md Alias, 61, dan anak bongsu Muhd Irfan, 20, berkata mereka mula membersihkan rumah dan warung pada 7 pagi tadi kerana bercadang ingin membuka semula warungnya esok setelah hampir seminggu tidak berniaga.
Sementara itu, Badariah Ahmad, 63, berkata dia bersyukur kerana banjir yang melanda kali ini tidak seburuk yang pernah dialaminya sebelum ini.
Ibu tunggal itu juga tidak ingin berlengah dan memulakan proses pembersihan rumah sejak pukul 10 pagi tadi kerana memikirkan anak lelakinya Fazrin Zamli, 35, akan mula bekerja tidak lama lagi.
"Ini pun buat setakat yang mampu sahaja, alhamdulillah tahun ini tak teruk sangat seperti tahun-tahun sebelum ini dan tidak banyak sangat barang yang rosak kerana kami telah melakukan persiapan awal," katanya.
Tinjauan Bernama turut mendapati keadaan banjir semakin reda dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini yang menempatkan sejumlah 47 keluarga dijangka ditutup selewat-lewatnya pada 5 petang ini.
-- BERNAMA
#banjir #pengusaha warung #berniaga #Tengku Maimun Tengku Ismail #kampung pasir raja
;