Pengusaha warung Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, berkata dia sememangnya tidak sabar untuk membersihkan warung yang terletak di hadapan rumahnya memandangkan mata pencariannya terjejas ekoran banjir yang melanda bermula malam Sabtu lepas.
Katanya, lokasi yang terletak di tepi sungai menyebabkan warung yang diusahakan keluarganya sejak 80-an itu tidak akan terlepas daripada dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.
"Hujan yang lebat bermula Jumaat menyebabkan warung dan rumah kami dinaiki air sehingga paras lutut. Mujurlah kami sempat menyimpan semua barang di tempat tinggi, jadi tidak banyak yang rosak," katanya ketika ditemui Bernama di warungnya di sini hari ini.
Tengku Maimun yang dibantu suami Zulkarnain Md Alias, 61, dan anak bongsu Muhd Irfan, 20, berkata mereka mula membersihkan rumah dan warung pada 7 pagi tadi kerana bercadang ingin membuka semula warungnya esok setelah hampir seminggu tidak berniaga.
Sementara itu, Badariah Ahmad, 63, berkata dia bersyukur kerana banjir yang melanda kali ini tidak seburuk yang pernah dialaminya sebelum ini.
Ibu tunggal itu juga tidak ingin berlengah dan memulakan proses pembersihan rumah sejak pukul 10 pagi tadi kerana memikirkan anak lelakinya Fazrin Zamli, 35, akan mula bekerja tidak lama lagi.
"Ini pun buat setakat yang mampu sahaja, alhamdulillah tahun ini tak teruk sangat seperti tahun-tahun sebelum ini dan tidak banyak sangat barang yang rosak kerana kami telah melakukan persiapan awal," katanya.
Tinjauan Bernama turut mendapati keadaan banjir semakin reda dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini yang menempatkan sejumlah 47 keluarga dijangka ditutup selewat-lewatnya pada 5 petang ini.
-- BERNAMA