Banjir: Pengusaha keropok lekor Mersing mohon bantuan kerajaan
Ernalisa Othman
Januari 8, 2021 09:03 MYT
Januari 8, 2021 09:03 MYT
MERSING: Daerah Mersing yang terkenal dengan pelbagai sumber pelancongan, termasuk hasil industri kecil dan sederhana (IKS), kini terjejas ekoran cuaca yang tidak menentu.
Salah seorang pengusaha keropok lekor, Abdul Halim Othman, 40 tahun, mengakui pendapatannya merosot hampir 80 peratus kerana tiada lagi pengunjung akibat bencana banjir ketika ini.
Mewakili pengusaha lain, dia mengharapkan bantuan kerajaan untuk memulihkan kembali perniagaan pasca banjir.
Abdul Halim berkata, sebelum ini, dia mampu menjual lebih 500 batang keropok lekor sehari.
"Dalam banjir ini, kita tak boleh buat apa. Stok memang banyak, anggarannya 500 bungkus. Kalau dulu, satu hari dapat jual 500 batang keropok, sekarang 100 batang sahaja," katanya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati hampir 10 deretan kedai yang menjual pelbagai jenis keropok di bandar Mersing juga kini sunyi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib berkata, beliau telah menyerahkan nama usahawan yang layak menerima bantuan melalui persatuan IKS Mersing.
"Saya serahkan lebih kurang 10 nama, iaitu yang saya cadangkan sebelum ini untuk menerima sumbangan," katanya.
Beliau memberi jaminan akan menyegerakan bantuan kepada pengusaha IKS yang benar-benar terjejas akibat banjir.